my friends...........

Thursday 2 September 2010

1MALAYSIA-RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

1.      PENGENALAN
• Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bergerak seiring sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia.
• Bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia yang    berpaksikan    prinsip    “Rakyat Didahulukan,   Pencapaian   Diutamakan”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
• Gagasan 1Malaysia ber tujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Gagasan ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.

2.     DEFINISI
•      Gagasan  1Malaysia  menurut  penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
• Gagasan 1Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.
“Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia” memberi maksud bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga perlu melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
• Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

• Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan
 melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
•      Nilai  tambah  dan  pembaharuan  dalam Gagasan 1Malaysia. “Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
• Melalui Gagasan 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Pen-dekatan mendekati rakyat, memahami masalah mereka dan bersikap mesra rakyat adalah perkara utama ditekankan oleh YAB Perdana Menteri kepada kepimpinan parti dan perkhidmatan awam.
3. PERBEZAAN ANTARA GAGASAN 1MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan    definisi    yang    dinyatakan,Gagasan 1Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
1Malaysia adalah gagasan bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Konsep Malaysian Malaysia pula adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud itu. Keadilan yang dicanangkan dalam konsep Malaysian Malaysia diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total.
Di samping menjaga kepentingan semua kaum, Gagasan 1Malaysia juga me-nekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa me-ngambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.
Perpaduan      yang      digambarkan      oleh Gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.
Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan meng-anggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
4.     GAGASAN 1MALAYSIA
• Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia “Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalan-kan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
• Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
• 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

•      Maksud    Rakyat    Didahulukan    dalam Gagasan 1Malaysia ialah merujuk kepada 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah disasarkan oleh kerajaan dalam konteks untuk membela dan meletakkan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan. NKRA tersebut ialah :
• Meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
• Mengurangkan kadar jenayah.
• Memerangi rasuah.


 • Meningkatkan taraf hidup rakyat ber-pendapatan rendah.
• Memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman.
• Menambah baik pengangkutan awam.
• Sementara   bagi   maksud   Pencapaian
Diutamakan pula merujuk kepada komitmen kerajaan dalam meletakkan sasaran terhadap pancapaian bagi setiap NKRA.

5. HUBUNGAN GAGASAN 1MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
• Perkaitan antara Gagasan 1Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan,   Pencapaian   Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dasar-dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
• Gagasan ini bukanlah suatu perkara baru.  Sebaliknya   1Malaysia  merupakan satu   usaha   yang   telah   lama   diamalkan.  Usaha-usaha   memelihara   dan   menjaga kepentingan   rakyat   serta   negara   sudah dilaksanakan   sejak   zaman   Tunku   Abdul Rahman Putra Al-Haj.  
• Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6.     MATLAMAT
• 1Malaysia bermatlamat untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
• Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.
• Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
 
7.      HURAIAN
• 1Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan hubungan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
• 1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, kebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
• 1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati



 masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
• Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
• Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
• Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan 
 kelompok sendiri.  Malaysia  merupakan sebuah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta
 fahaman     politik.    Semua     kaum     perlu menganggap bahawa mereka adalah  bangsa  Malaysia di mana segalanya  perlu dinikmati    secara    bersama.    Setiap    ahli dalam masyarakat atau kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan  dan  mendapat  pembelaan kerajaan yang sewajarnya.   

• 1Malaysia  adalah pemangkin kepada pewujudan   negara   bangsa   yang   dapat  melahirkan  rakyat  yang  mempunyai  sikap kesamaan    dan    kekitaan    antara    satu sama   lain.   Keupayaan   membina   negara
 bangsa bergantung kepada  perkongsian nilai  integriti,  kebolehan,  dedikasi  dan kesetiaan.        
• Justeru pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai  1Malaysia, iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi.

8. ASPEK-ASPEK UTAMA 1MALAYSIA
• 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti berikut:
8.1 Aspek Pertama – Penerapan Teras-Teras Perpaduan
• Menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
• Teras Perpaduan ini disandarkan kepada tiga prinsip dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu: 
 
PRINSIP PENERIMAAN
PRINSIP KENEGARAAN
PRINSIP KEADILAN SOSIAL

8.1.1  Prinsip Penerimaan
• 1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

• Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan di mana penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan ikhlas tanpa ada unsur paksaan.
• Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa di mana ia berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

8.1.2  Prinsip Kenegaraan
• Konsep perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara telah diterapkan dahulu lagi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman melalui Parti Perikatan yang dipimpinnya dengan dibantu oleh Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu.
• Tun   Abdul   Razak   pula   mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tujuannya adalah untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini 
 
• Tun Hussien Onn yang sememangnya terkenal dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat sehingga diberi gelaran ‘Bapa Perpaduan’.

• Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi pula membawakan Wawasan 2020 dan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai gagasan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
• Prinsip-prinsip Kenegaraan berasaskan kepada dua perkara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Perlembagaan Persekutuan
• Seperti   yang   dijelaskan   sebelum   ini, Gagasan 1Malaysia sesungguhnya sangat berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia. Ini kerana konsep 1Malaysia tidak sekali-kali akan menyimpang daripada kamus Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat mahupun secara tersirat.
• Malahan Gagasan 1Malaysia akan terus kekal menjunjung kesemua peruntukan teras, seperti yang telah disebutkan di dalam Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan Bahagian 3.
• Antara perkara teras yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan ialah Perkara 3, (1) yang menyebutkan bahawa Agama Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
• Bagi Perkara 4, Perlembagaan memberi penegasan mengenai perkara Undang-undang Persekutuan di mana perkara (1) menjelaskan bahawa Perlembagaan ini merupakan undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini, maka ia terbatal dengan sendirinya.
• Perkara 152 (1) merujuk kepada Bahasa
Kebangsaan Persekutuan ialah Bahasa Malaysia dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.
• Seperti   yang   telah   disebutkan   dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153 Fasal 1 “Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini”.

• Malah, jika kaum-kaum lain menghayati dengan mendalam mengenai keistimewaan hak orang Melayu seperti yang telah didokumenkan sejak dahulu lagi, maka tidak akan wujud perasaan negatif di dalam diri.
• Oleh yang demikian, usahlah mana-mana  pihak  berasa  khuatir  atau  bimbang kerana Gagasan 1Malaysia ini tidak
 akan  sekali-kali  terpesong  dari  apa  yang telah  dipersetujui  dan  dimuafakatkan  oleh kepimpinan    negara    pada    suatu    ketika dahulu.     

• Sebagai makluman, Perlembagaan Persekutuan   yang berkuatkuasa   sejurus selepas kemerdekaan   pada 31 Ogos 1957 merupakan undang-undang yang tertinggi di Malaysia  dan  mengandungi  sebanyak  15 Bahagian  dan  183  Perkara.  Ia  merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah   dibentuk   berasaskan   kepada   dua
 dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan    Tanah    Melayu    1948    dan Perlembagaan Malaysia tahun 1957. 
 
Rukun Negara
• Ia merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
• Ia juga satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.
• Ideologi negara ini menggariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk dijadikan sebagai pedoman yang merupakan kunci kepada pembentukan masyarakat pelbagai kaum di Negara yang berintegriti.

8.1.3  Prinsip Keadilan Sosial
• Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
• Melalui Gagasan 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.
• Namun begitu, Gagasan 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah landasan bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan. 
 
8.2     PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI
• Ketiga-tiga Teras Perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni termasuk nilai-nilai berikut:
KESEDERHANAAN RENDAH HATI (TAWADHUK’) BERBUDI BAHASA HORMAT-MENGHORMATI

8.2.1 KESEDERHANAAN
• Rakyat yang tergolong dalam kategori ini termasuklah mereka yang sederhana dari segi pertuturan, berbelanja, berpakaian, makan minum, serta sederhana dari segi aspek bekerja dan berehat.
• Bagi pertuturan, sabda Rasulullah telah menjelaskan bahawa “Bercakaplah menurut tingkat kecerdasan pendengar” • Sementara sederhana dalam bekerja dan berehat bermaksud sentiasa menganggap kerja itu adalah suatu ibadah dan melakukannya demi untuk membantu rakyat.

8.2.2 RENDAH HATI (TAWADHUK’)
• Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri atau Tawadhuk.

8.2.3 BERBUDI BAHASA
• Sentiasalah amalkan sifat berbudi bahasa dengan siapa jua sekalipun tanpa mengira status, kaum dan agama. 
 
• Setiap tutur kata harus dijaga, tingkah laku harus tertib dan sentiasa bersopan santun ketika berinteraksi.

8.2.4  HORMAT-MENGHORMATI
• Setiap perbezaan yang ada di negara ini tidak kira perbezaan kaum, agama, budaya dan kepercayaan haruslah dihormati dan dihargai   kerana itulah   antara   faktor yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia.
• Selain itu, hormatilah juga dengan sejarah dan perjanjian yang berlaku pada satu ketika dahulu kerana tanpa sejarah, tidak mungkin kita akan berada pada tahap kemodenan yang kita sedang alami sekarang. 
8.3 Aspek Kedua - Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
• Nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju.
• Nilai-nilai aspirasi ini akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya akan membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
• Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Gagasan 1Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai tersebut adalah : 
 
BUDAYA BERPRESTASI TINGGI
BUDAYA KETEPATAN
BUDAYA ILMU
INTEGRITI
KETABAHAN
KESETIAAN
KEBIJAKSANAAN
BUDAYA INOVASI

8.3.1  BUDAYA BERPRESTASI TINGGI
• Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa atau “acuh tak acuh” tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.
• Tidak boleh wujud budaya ‘lebih-kurang’ iaitu sesuatu perkara dilakukan hanya setakat yang termampu tetapi bukan yang terbaik.
• Setiap perkara yang dijalankan haruslah mencapai tahap terbaik dan bertaraf dunia serta kepimpinan yang dijalankan adalah berasaskan prestasi.
• Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
• Budaya ini perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

8.3.2  BUDAYA KETEPATAN
• Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju, rakyat Malaysia perlu dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.
 
• Perkhidmatan yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada kualiti yang bagus dan perlu dijalankan secara berterusan.
• Ketepatan juga bermaksud setiap perkara termasuk tindakan, komunikasi, janji, masa dan ukuran haruslah dilaksanakan dengan tepat.

8.3.3 BUDAYA ILMU
• Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.
Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan
dan  berpengetahuan mengatasi  kekuatan ketenteraan.   
• Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan penge-tahuan dari segala-galanya.
• Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu dan mem-punyai minda yang sentiasa terbuka.

8.3.4  INTEGRITI
• Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak.
• Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan tanggungjawab.

• Berusaha memperbaiki kesilapan dan setiap perkara serta tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi men-dapatkan hasil yang sempurna.
• Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.
• Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepen-tingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8.3.5 KETABAHAN
• Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang. Rakyat Malaysia seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua bidang yang diceburi.
• Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

• Ketabahan dalam menghadapi per-ubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
• Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.
• Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
 
8.3.6  KESETIAAN      

• Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa    jua    keadaan.    Kesetiaan    kepada Raja   dan   Negara,   prinsip   kedua   Rukun Negara   wajib   dipegang   erat   oleh   setiap rakyat  negara  ini  tanpa  berbelah  bahagi.
 Semua  kaum  perlu  mengutamakan kesetiaan  dan  kepentingan  kepada  negara mengatasi   kesetiaan   kepada   kaum   dan kelompok sendiri.     

• Kesetiaan sepenuhnya  kepada  negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan  berkorban demi negara yang tercinta.

• Kesetiaan kepada pemimpin  atau ketua di  dalam  sesuatu  organisasi  adalah  teras kepada  kewibawaan,  keteguhan,  kejayaan dan kecemerlangan.  Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada    ketua    kerana    organisasi    yang berpecah  dan  tidak  setia  kepada  arahan ketua akan mengalami kehancuran. 
• Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
• Kesetiaan perlu disertai dengan ke-upayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang kerana kesetiaan atau perhubungan yang membuta-tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai.

8.3.7 KEBIJAKSANAAN
• Cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.
• Nilai ini juga perlu diikuti dengan kebijaksanaan membuat sesuatu keputusan dengan tepat, tahu membezakan yang baik dan buruk, memiliki pemikiran dan pandangan yang tepat, bijak meletak sesuatu kena pada tempatnya serta tidak mudah terpengaruh dengan nafsu dan kepentingan sendiri.
• Untuk memiliki nilai ini, beberapa ciri perlu dimiliki antaranya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, cerdik, tetap dengan pendirian, memiliki kemahiran mendengar, berdisiplin dalam berfikir serta sentiasa siap sedia tanpa perlu terburu-buru.

8.3.8 BUDAYA INOVASI
• Nilai ini adalah kesediaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.


 • Kita mesti berani berubah demi kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai.

9.     KESIMPULAN
• Konsep 1Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah pe-rasaan hormat-menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
• Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana 
 
segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
• Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
• Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
• Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Sumber: 1MALAYSIA, Jabatan Penerangan Malaysia

No comments:

Post a Comment